Demi Tuhan yang jiwaku ada diTanganNya.
Suka saya memulakan entry ’special edition’ saya ini dengan rasa syukur tidak berbelah-bagi kepada Allah taala atas limpah kurnia yang tak terhitung banyaknya. Juga selawat dan salam keatas junjungan besar kita Rasulullah S.A.W. yang telah memberi tunjuk ajar dan cara bagi menghadirkan rasa kewujudan Allah serta tatacara menyembahNya.
Kebebasan adalah perkara yang sering dicari oleh manusia namun secara sengaja atau tidak sengaja, ramai yang menemui jalan buntu. Mengapakah hal ini berlaku?Adakah Allah melupakan aspek bahawa naluri manusia amat menginginkan kebebasan jiwa dan perasaan untuk bertindak. Tidak. Allah tidak sesekali membiarkan hambanya tanpa sebarang panduan. Kita tahu umat terdahulu juga diutuskan rasul-rasul. begitu juga kita. Lihat! Allah amat menyayangi hambanya, tetapi manusia dengan sikap ego menolak seruan rasul dan nabi serta ulama’ yang menjadi pewaris mereka sehingga risalah dan panduan hidup belum pun sempat diterima oleh hati-hati mereka. Oleh itu, adakah berhak hamba yang ingkar dengan suruhanNya diberikan petunjuk untuk menemui jalan’kebebasan‘?
Ok. setakat itu mampu saya ringkaskan Aqidah murni ini. Ingin pula saya bicarakan dari sudut praktikalnya.
kebebasan sebagai individu.
Individu telah ditanam dengan ‘psychology’ bahawa kebebasan adalah melakukan sesuatu tanpa sebarang sekatan atau halangan. Puas hatikah kita dengan definition seperti ini untuk ditafsirkan oleh otak yang seterusnya akan melahirkan tindakan?. Tidak, definition seperti ini tidak lengkap. Ibarat layang-layang yang menunggu masa untuk jatuh setelah kehilangan angin. layang-layang memang kelihatan menyeronokkan apabila dilihat mampu terbang dengan gahnya, tetapi pasti dan pasti keseronokan itu akan hilang apabila angin tidak lagi bertiup. Begitu juga manusia, manusia yang merasakan dirinya bebas menetukan arah hidup pada mulanya seronok dengan kesenangan hidup tetapi akhirnya akan buntu dengan teori kebebasan yang difahaminya apabila kebebasannya tidak habis-habis disekat oleh tangan dan kuasa luar. Waktu ini barulah dia menyedari bahawa tiada kuasa yang lebih berhak menentukan takdir dirinya melainkan (celupan Allah) sibghah Allah S.W.T.
Dimanakah angin yang berterusan yang boleh memberikan kebebasan yang berterusan kepada si layang-layang?
Siapa yang menciptakan angin? tentulah Allah. Maka tentulah Allah juga yang lebih mengetahui bagaimana untuk menjadikan angin bertiup secara terus atau kata lainnya bagaimana hambaNya boleh menikmati kebebasan yang berterusan. Maka jawapannya itulah wahyu Allah. Wahyu yang mampu membawa manusia kepada puncak kebebasan yang tidak pernah difikirkannya. Justeru mari kita melihat sedikit sebanyak hasil cara hidup yang dipandu oleh wahyu.
Izinkan penulis mencoretkan beberapa kelemahan hidup seperti layang-layang dan bagaimana Islam mengatasi kelemahan ini.
Sistem Kapitalis.
Sistem ini dianggap sangat bagus dan diterima pakai oleh banyak penduduk dan pemerintah dunia. tapi disana kelemahan yang jelas diketahui semua iaitu sifat tamak haloba manusia tidak dapat dibendung dalam sistem ini. Orang ramai mungkin mengatakan undang-undang sebagai jawapannya. Tetapi jawapan ini juga masih terdedah oleh gangguan kuasa dan tangan manusia yang berniat jahat. Islam sangat jelas. memelihara hati adalah lebih utama. undang-undang adalah soal kedua yang mengawal manusia yang secara genetiknya tidak terkawal. Hati yang terpelihara ialah hati yang takut ditimpa azab Allah dan Al-Quran sering menceritakan azab ini untuk menimbulkan rasa gerun tersebut. Justeru, undang-undang tidak akan menjadi putar belit seperti sekarang ini jika sebahagian besar manusia telah dipandu oleh undang-undang hati ini. Maka akan terpeliharalah kebebasan bagi setiap individu yang mendiami bumi ini.
Belajar dan Usaha.
Tiada yang lebih baik dan komprehensif dari Islam yang menyempurnakan usaha yang diletakkan matlamat untuk tujuan dunia dan juga akhirat. Belajar dan usaha tanpa akidah Islam pasti tersekat atau terhenti pada dunia. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak hanya bercita-cita untuk menjadi Juruterbang. Salahkah? tidak salah. Cuma, bukankah lebih baik jika cita-cita akhirat juga disertakan kerana dengan cita-cita akhirat, seorang juru terbang akan dikawal oleh undang-undang wahyu yang menjadikan dia seorang yang amanah dan bertanggungjawab pada tugas yang diberi. Tanpa cita-cita akhirat dia tidak dikawal oleh apa-apa lantas tidak segan silu untuk membuat dosa. Amanah mungkin dicuaikan bahkan ditambah dengan dosa dan maksiat seperti rasuah walaupun sudah ada polis yang bertaraf antarabangsa dan undang-undang yang sangat ketat dan menyusahkan oleh sebab kehilangan undang-undang hati yang dikawal oleh wahyu. Maka akan keluarlah ucapan. “apa kau peduli ni hal aku, tak payah jaga tepi kain orang, aku buat aku sendirilah tanggung”. Kita yang mendengar dalam hati berkata. ” Aku bukannya nak memusuhi engkau tapi hendak membantu kau dari diazab di akhirat kelak”. Namun begitu bukan di akhirat sahaja keburukan akan terjadi, bahkan di dunia juga sudah terjadi dimana nilai amanah sesorang menjadi tanda tanya, hak-hak masyarakat sekeliling dizalimi. tindas menindas berlaku. Adakah ini kebebasan yang kita idam-idamkan. Bukan, ini adalah kehinaan bagi umat Islam apabila Islam dipisahkan dari kehidupan dan hidup yang disekularkan.
Cukuplah dua contoh coretan ini menyimpulkan bahawa jalan penyelesaian hanya dengan Islam. Islam sangat mampu mengubah paradigma umat Islam berfikir sekiranya umatnya yakin serta mengamalkan ajarannya secara bersungguh-sungguh dan berilmu.Takrifkan semula kebebasan menurut acuan Islam. Moga saya dan kalian ditetapkanNya di atas jalan yang lurus.
wAllahua’lam.