Alhamdulillah dengan rahmatNya terdetik juga hati ini untuk menulis sesuatu. Tiadalah penulisan ini bermakna apa-apa cuma sekadar menghidupkan kembali lilin pembakar yang sudah semakin malap.
Suka saya memulakan perkataan pertama saya dengan syukur tak berbelah bagi kerana dihidupkanNya dalam suasana yang amat mengajar erti kehidupan. Diri ini bukanlah selayak mana untuk berkata atau memberi peringatan cuma sekadar mahu berkongsi.
Kadang-kadang kita merasakan kita sudah bebas dari belenggu-belenggu jahiliyah. tapi kita sering terlupa dan tertipu dek kerana liciknya syaitan dan rakusnya hawa nafsu. Kita mungkin sering terdengar orang mengatakan ‘aku dah cukup bermotivasi’ atau ‘aku dah tepu untuk diberi nasihat’, namun dalam keadaan tersebut juga kita boleh melihat masih terdapat unsur-unsur jahiliyah yakni perasaan ego dan sombong. mungkin golongan ini terlupa atau terlepas pandang dalam ayat atau kalam Tuhannya ;
Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat. (Al-baqarah:7)
memanglah jika kita melihat, ayat ini ditujukan kepada orang kafir yang mana pada ayat sebelumnya Allah menyatakan sama sahaja orang kafir itu sama ada diberi peringatan atau tidak mereka tetap tidak mahu mendengarnya. Ini adalah ciri-ciri orang kafir yang disebutkan oleh Allah dalam kitabNya. justeru mahukah kita mempunya sifat yang sama seperti ini? tentu sekali tidak bukan. Orang yang mempunyai ciri-ciri atau sifat seperti ini tidak lain hanya menempah jalan pintas untuk ke neraka Allah.
Mengapa ‘jalan pintas’?
Perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami. cukup dengan analogi seorang buta dan seorang yang celik, adakah kedua-duanya serupa? orang yang buta berusaha untuk memahami persikatarannya maka wujudlah tulisan yang disebut sebagai ‘braille’. Orang yang celik tidak memerlukan apa-apa medium cukup sekadar mengarah pandangan untuk memahami persekitarannya. Justeru adalah perkara yang sama dalam hal ini. kita diberi peringatan atau kitabNya untuk ditadabbur dan difahami. Juga ditakdirkanNya bersama-sama atau bergaul dengan sahabat yang sudi memberi nasihat. sudahkah kita bersedia untuk menerimanya dengan hati yang terbuka?.Jika sudah barulah kita boleh dikatakan telah mengambil langkah yang pertama dan penting bagi menunjukkan rasa syukur atau berterima kasih kita padaNya.
Oleh itu, berhaklah saya untuk membuat kesimpulan disini bahawa orang mengingkari perintah dan melakukan larangan Tuhannya disebabkan terlalu angkuh untuk diberi nasihat adalah orang yang jahil dan degil dan tidak layak untuk dibandingkan dengan orang buta kerana mereka(orang buta) masih lagi mencari jalan untuk memahami persekitarannya tetapi golongan yang tidak mahu mendengar nasihat ini terus menerus alpa dan leka dalam dunianya kerana jalan kebenaran sudah ditutup terus oleh benteng-benteng nafsu dan sifat egonya.
Akhir kata, moga Allah menjauhkan kita dari tergolong dalam golongan yang sombong dan ingkar apabila kebenaran sampai kepada kita walau dari apa bentuk dan dari siapa juga datangnya. Bukalah hati kita. Kita umat Islam lebih berhak untuk bersikap terbuka dan menganalisa bukanlah yang terburu-buru menutup jalan kebenaran atas kesempitan pemikiran kita.
tiada yang lebih benar dari kata-kataNya
salam..best artikel nih..
hoho..
wsalam…juga harapnya kita orang muslim dikurniakan kemanisan iman serta yakin utk terus mengamalkan dengan penuh istiqamah..